Wednesday, June 17, 2009

SEGERAKAN EGM PAS....HALAU PENGKHIANAT ISLAM....


Akhirnya apa yang terbuku dan tersirat di sebalik nasihat dan kenyataan keras Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz diluahkan secara terbuka hari ini. Timbalan Presiden PAS seakan 'dihalau' bagai anjing buruk kepala agar meninggalkan PAS dan menyertai Umno.

Sudah tidak dapat dinafikan lagi, punca keretakan dan perpecahan PAS adalah idea Kerajaan Perpaduan. Suatu idea yang walaupun 'jika baik', pengumumannya telah dibuat secara terburu-buru dan tanpa perancangan serta penjelasan. Hanya beberapa kerat pimpinan sahaja yang kemaruk hendak menjayakannya. Sebahagian besar ahli menolaknya. Rakyat langsung tidak melihat kebijakan disebalik idea 'sampah' tersebut. Ahli yang menyokong pula kerana terpedaya dengan momokan hanya ulamak mampu memimpin PAS. Erdogan adalah golongan yang perlu disisihkan dari saf kepimpinan. Label Ulamak dan Erdogan digunakan bagi mengelirukan perwakilan muktamar. Dan perang saraf ini berjaya 'memujuk' perwakilan membuat pemilihan yang mungkin boleh mengakibatkan satu tragedi dalam sejarah PAS.

Lebih malang apabila yang dilihat sebagai Boneka Umno ini dilantik ke jawatan penting parti. Sayap kanan PAS, Dewan Pemuda PAS Pusat pula hanya membisu kerana wala' pada saranan seorang Pengarah Pilihanraya. Wala' ini boleh ditafsir sebagai seakan bersetuju dengan idea Kerajaan Perpaduan. Lagi pun kemenangan tanpa bertanding Ketua DPPP adalah 'atas tiket' ulamak. Bukan rahsia lagi bagaimana Pemuda PAS yang baru hebat berkempen untuk memenangkan calon tertentu. Namun akhirnya beliau sudah tahu perkara sebenar ketika pertemuan dengan Tok Guru Nik Aziz di Temerloh. Beliau mungkin sedar yang beliau dijadikan alat untuk kepentingan peribadi inidividu tertentu. Nasi sudah menjadi bubur. Lagak hero melancarkan kempen anti-ISA di Parlimen tidak berjaya mengangkat imej DPPP. Semuanya nampak 'tawar'. Beliau hanyalah retorika semboyan perang, bukannya seorang pahlawan medan perang.

Jadi dalam PAS, pemegang jawatan utama dilihat menyokong idea Kerajaan Perpaduan. Ironinya, Presiden PAS tidak dilihat pula sebagai pencetus idea tersebut. Bahkan kebanyakkan berpendapat bahawa Presiden PAS 'dipesongkan' oleh orang di kiri kanan beliau yang membuatkan beliau terpesona lantas menyokong idea tersebut. Presiden dianggap menjadi 'agent' sahaja bukannya mastermind.

Hari ini juga beberapa pimpinan PAS membuat kenyataan yang dapat menyedarkan apakah idea Kerajaan Perpaduan ini mengarut atau benar-benar memang mengarut. Mengarut kerana selama ini memang rupanya Majlis Syura Ulama PAS tidak pernah berbincang isu Kerajaan Perpaduan. Dan benar-benar mengarut bila Setiausaha Agung PAS cuba pula nak main silap mata nak mengheret Pakatan Rakyat, PKR dan DAP. Selama ini jelas yang PKR dan DAP menolak idea mengarut tersebut. Mustapha Ali bertindak seakan sudah desperate oleh kerana Tok Guru Nik Aziz sudah beri kata dua pada Timbalan Presiden PAS. Kenyataan Mustapha Ali seperti layang-layang terputus tali. Tiada apa yang dapat dipegang lagi.

Namun disebalik amaran keras Tok Guru Nik Aziz dan kenyataan maha karut Mustapha Ali, Ustaz Harun Taib membawa satu cadangan yang bolehlah dianggap bakal menjernihkan keadaan. Beliau sedar bahawa yang mula-mula 'menyalak' isu Kerajaan Perpaduan ini adalah beberapa pimpinan PAS sahaja, bukannya PR. Lantas idea bijak dari beliau apabila mencadangkan agar satu Muktamar Tergempar PAS-EGM diadakan bagi meleraikan segala kekusutan.

Ramai percaya jika EGM diadakan dan melibatkan penyertaan akar umbi tanpa ada unsur-unsur label-melabel dan segala macam 'perkara luar biasa' dan '6 jam perkara dalam luar biasa', keputusan yang dicapai dalam EGM itu nanti adalah cerminan sebenar kehendak akar umbi PAS yang dalam keadaan keliru dan tegang.

Persoalannya, mahukah mereka yang terlibat secara langsung dalam kemelut ini mengambil tanggungjawab atas apa yang mereka telah 'kerjakan' dan perkatakan serta bersikap gentlemen melepaskan jawatan secara sukarela demi keutuhan PAS?

Rasanya tiada masalah melepaskan jawatan tinggi dalam parti PAS walaupun baru dimenangi tak sampai sebulan lepas. Inilah masanya 'mereka' pula menagih dan menguji keikhlasan Umno mengambil mereka masuk 'barisan' dan berpadu sepertimana yang mereka mimpikan siang malam.

Harap-harap pesawat yang membawa Presiden PAS balik dari London tidak membawa penumpang yang dijangkiti virus H1N1-M1. Nanti tertangguh pula cadangan mempercepatkan EGM kerana Presiden terpaksa di kuarantin.

3 comments:

  1. BRO...takkan 2 orang tu aje yg lu sound,geng-geng lain takkan nak biar diam (duduk) dlm tu..siasat siapa lagi yg bersubahat dgn mamat 2 ekoq ni,alang-alang halau ,biar sampai bersih..memang pahit utk menerima kenyataan tapi apa boleh buat ,nak merawat luka bernanah itu sajalah caranya..

    ReplyDelete
  2. Agen-agen yahudi mulamain peranan nak pecah-belahkan PAS. Awas!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  3. nasa resign stopa resign,
    tetap dgn PR.klu x nnti mati PAS...rakyat tolak sbb xder pendirian.kejap PR kejap BN...gara2 mamat 2 ekor nie....boneka barua umno

    ReplyDelete