Wednesday, February 11, 2009

PAK HABIB MENULIS......

MAHATHIR TAK KUAT, SULTAN TAK BERKUASA

SUDAH DUA MINGGU berturut-turut Pak Habib tak menulis. Bukan kerana malas, atau tak ada idea, tetapi memikirkan masa itu emas. Kita tidak mahu hidup di dalam kerugian, tidak mahu membazirkan masa orang ramai membaca tulisan kita semata-mata kerana kita ada ruangan, terutama dalam keadaan suasana politik yang sedang mengharu-birukan pemikiran bangsa kita.


Dalam suasana yang tidak menentu di antara hidup matinya UMNO, panjang pendek umur institusi raja-raja kita, Pak Habib tak patut menulis sekadar nak isi ruangan semata-mata. Ini bukan masanya untuk melepaskan Batuk ditangga. Negara memerlukan orang kita.

"Cintakan tanah air adalah sebahagian dari iman". Hadis.

Pak Habib tak boleh hentam raja semata-mata kerana pintu istana sudah terbuka luas, sudah punah akibat pena-pena beracun yang telah menumbangkan tembok- tembok istana.

Pak Habib tak mahu dilebelkan sebagai Penulis Opportunist
yang menangguk di air yang keruh, tak mahu dilebel sebagai Pak Turut, atau Burung Tiung yang main ikut-ikut suara dan fikiran orang ramai, kerana kerja mengkritik Sultan Johor ini sudah 10 tahun dulu Pak Habib lakukannya.

Ketika orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin asyik mengangguk-gangguk depan Raja, Pak Habib dah geleng kepala.
Bila orang kutuk dan benci raja, kita pun ikut sama, ini kerja tak tak betul. Lanyak dan belasah raja semata-mata kerana ada orang yang berkuasa berdiri di belakang kita atau sekadar hendak melepaskan geram, nak balas dendam sambil hendak mencari nama, konon akulah wira memalukan institusi penulisan. Sebelum Perdana Menteri bersuara dulu penulis yang berlagak jaguhan bersembunyi di mana?

30hb Desember 1992 Pak Habib pergi ke P.W.T.C, masuk ke dalam Dewan Tun Hussein Onn berkumpul bersama-sama ahli UMNO untuk mendengar taklimat Dr. Mahathir kepada ketua-ketua UMNO mengenai Pendirian kerajaan hendak melucutkan kekebalan raj -raja. Ini amanat penting, ini sejarah, kita tak boleh dengar dari mulut ke mulut, kita kena dengar dari mulut Perdana Menteri sendiri. Penulis adalah mata dan telinga rakyat.

Hendak mencabut kekebalan raja-raja ini bukan kerja mudah, lebih kurang macam kita hendak mencabut taring daripada mulut ular yang sangat berbisa. Apakah magic atau keramah yang ada pada Mahathir untuk berlawan dengan sembilan raja-raja yang kebal-kebal belaka ini? Cuma tukang main silap mata dan bomoh ular sahaja yang dapat melakukannya. Kalau ia pun Raja Berperlembagaan ini bolehlah diibaratkan macam ular pemain silap mata. Masakan ular boleh bertukar menjadi cacing sesudah hilang bisanya nanti?

Pak Habib percaya pemimpin UMNO seperti Dr. Mahathir yang sudah menempuh lebih besar gelombang dari sekadar buih dalam cawan teh tarik. Tentunya Che' Det dapat bergelut bersama ular peliharaan UMNO yang sudah membesar menjadi seperti naga dalam metos pribumi.

Mengganggu raja, bererti mengganggu gugat hati nurani bangsa Melayu. Menghina raja samalah mempersenda dan merendah-rendahkan mertabat bangsa Melayu. Biarpun tak ada apa benda lagi di bumi bertuah ini yang akan kekal dengan nama Melayu.

Nasib baiklah yang berkonfrantasi dengan raja-raja ini parapemimpin UMNO sendiri, kerana bangsa Melayu telah menerima bahawa UMNO itu Melayu, kalau tidak tentulah buruk padahnya. Tak mustahil Malaysia boleh jadi macam Bosnia.

Golongan orang tua-tua terutama yang berada di kampung -kampung yang masih hidup di dalam kegelapan mereka sangat takut dengan raja-raja, malah mereka lebih takut pada raja dari Allah Azajawallah
. Padahal raja bukannya ada kuasa, nak buat macam mana? sayang kehilangan raja atau malu pada beruk, ular yang ada raja? Daun-daun pakau pun ada raja juga. Raja kekuk, Raja Kelawar, Raja Spade dan Raja Diamond.

Masih ramai di luar dan di dalam UMNO yang percaya pada daulat raja, masih takut digelar penderhaka. Pada mereka kalau tak ada raja orang Melayu semua akan mati kerana mereka telah menyerahkan hidup mati, ibadat mereka, pada raja, biar pun di dalam solat lima waktu sehari mereka berkata dihadapan Tuhan perkara yang bertentangan dengan yang diamal bila berhadapan dengan raja-raja. Nauzubillahi minal zalik
.

Itulah yang menyebabkan ramai orang tua-tua yang tak tahu ada peranan raja arah pada Mahathir, kerana mereka tidak membaca dan berfikir. Baca akhbar dalam tandas sekadar tunggu melepaskan projek saja. Baca akhbar pun bukan faham sangat, kerana fikiran masih tertutup, terbelenggu dan jiwa yang meletakkan keiatimewaan dan kedaulatan raja-raja diatas segala-galanya.

Tujuan Pak Habib pergi semata-mata ingin melihat muka Dr. Mahathir dari dekat. Macammana nak buat ramalan mengenai Mahathir kalau tidak dapat menfirasatkan mukanya terlebih dahulu? Nak tinjau , nasib Dr. Mahathir bila lawan Sultan Johor Almutawakil. Nak firasatkan muka orang yang akan mencipta sejarah hangsa bukan boleh main-main. Kalau salah firasat peminat tidak akan percaya lagi dengan tulisan-tulisan Pak Habib.

Orang-orang UMNO yang ada di dalam dewan itu bukan boleh diharapkan sangat, banyak terdapat gunting di dalam lipatan, musuh di dalam selimut dan pagar, pagar yang diharapkan adalah jenis-jenis pagar yang makan padi.
Ramai yang pipih di luar rencong di dalam. Telunjuk lurus kelengking berkait, ada yang seperti udang di sebalik batu. Namun tidak kurang yang seperti dun dalam daging dan abuk yang berada di dalam mata. Kasihan Dr. Mahathir, itulah cakap Pak Habib tak mahu dengar.

Semua orang tahu ada Menteri Besar yang lebih takut kepada Sultan daripada Perdana Menteri dan kuasa parti yang mengangkat mereka. Apa sultan minta, MB, timbalannya dan para Exco yang menjadi orang sultan setuju saja. Inilah jenis jenis ahli politik dan wakil rakyat yang sedang mendengar taklimat Mahathir, nampaknya masuk telinga kanan keluar telinga kiri serupa mencurah air di daun keladi
seperti membisik sesuatu kepada orang pekak. Apakah orang macam ini yang diharapkan untuk menyampaikan amanat Mahathir kepada rakyat?

Nasib baiklah ada media massa dan para penulis cabuk yang pernah di perhina oleh para pengampu UMNO sebagai orang yang mesti dicurigai oleh UMNO. Kalau tidak siapa yang hendak percaya pada pernimpin yang cakap tak serupa bikin. Nasib baik perkara ini melibatkan maruah dan keselamatan, ekonomi danpolitik negara.

Ramai yang pucat lesi, gelisah dan serba salah takut dengan dosa-dosa sendiri semasa duduk sebaris di atas pentas dengan Mahathir. Tapi muka orang politik relax macam sadin saja.

Kita tahu adanya pemimpin UMNO yang sedang duduk diatas pentas masih percaya raja punya daulat. Maka mereka bolehlah buat apa saja, ikut kemahuan Sultan yang mengatasi undang-undang. Salah mereka mempunyai kepercayaan demikian sedangkan mereka sudah lihat dengan mata kepala sendiri. Orang yang dimurkai Sultan mustahil boleh jadi Menteri Besar atau para EXCO atau Wakil-wakil Rakyat?

Tunku Muhamad Taib, Menteri Besar Selangor mencipta sejarah yang pertama. Sultan Selangor hari ini seperti tikus jatuh ke beras
kerana gagal mengusir Mike Tyson dari kerusinya. Namun Sultan berjaya meletakkan Timbalan Menteri Besar sebagai mata-matanya. Salah siapa? Angkara siapa?

Kehendak Sultan semua lulus kerana pembesar takut kepada Sultan dan istana bukan kerana sayang dan hormat. Orang ramai percaya bahawa Sultan dan istana paling berkuasa hingga terlupa tentang kekuasaan Tuhan.

Maka sebab itulah Sultan merasa yakin bahawa mereka sebenamyapunyakuasa, melebihi perlembagaan dan undang-undang, melebihi Perdana Menteri dan kerajaan. Mereka boleh melakukan apa saja. Mereka kebal dan siapakah yang berani mengambil kekebalan yang telah diperolehi lebih tiga puluh lima tahun dari mereka? Datuk-Datuk dan rakyat jelata akan terus menyembah dan menjunjungi duli-duli yang tidak disenangi oleh mereka. Banggakah kita dengan manusia serupa ini?

Kebetulan Pak Habib terkenal sebagai seorang Ahli Firasat, seorang penulis yang berani, yang tak peduli siapa pun, Dr. Mahathir yang kebetulan Menteri Dalam Negeri yang boleh tahan orang dibawah ISA pun Pak Habib hantar memo suruh berhenti, inikan pula raja yang cuma menjadi lambang. Pena Pak Habib tak kira tentang kekebalan raja. Pak Habib takut pada Allah saja kerana tak ada manusia yang kuat dan berbisa melainkan dipinjamkan oleh Allah.
Hendak buat macam mana ianya sudah menjadi tugasdan tanggungjawab. Ianya adalah menjadi amanah dan disebabkan Pak Habib telah diterima sebagai penganalisa dan Pemikir, maka menjadi kewajipan Pak Habib kepada para peminat-peminat Pak Habib yang mahukan pandapat dan buah fikiran Pak Habib yang ikhlas mesti ditunaikan.

Pak Habib teringat semasa Dr. Mahathir bersalam dengan Pak Habib dia bertanya. "You buat apa kat sini you bukan ahli UMNO."
Dia bergurau, dia ketawa kecil bercakap sambil berjalan. Nun di lubuk hatinya dia tahu yang menghidupkan UMNO bukan semua ahlinya, begitu juga yang memberi undi dan penyokong kerajaan, adalah orang ramai di luar UMNO.

Mereka adalah rakyat Malaysia yang percaya kepada kewibawaan dan kepimpinannya, rakyat yang cintakan negara ini. Rakyat jelata yang mempunyai sense of responsibiliti.

Ternyata kebanyakan daripada Menteri-Menteri Besar kecut bila berhadapan dengan raja-raja mereka. Prinsip dan perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanahair hilang ke mana, bila keutamaan diri dan keluarga bermain di dada? Inikan pula Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-ketua Cawangan dan Ahli Biasa yang masuk UMNO semata-mata nak cari peluang berniaga dan harta.

Apa lagi rakyat Johor yang tahu perangai AlMutawakil yang mempunyai kekebalan. Nasib baik ada Menteri Besar yang tabah dan bij aksana macam Tan Sri Muhyiddin dapat menyesuaikan diri menyelesaikan krisis istana dan rakyat kalau tidak mungkin terjadi pertumpahan darah. Mudah-mudahan Allah selamatkan Muhyiddin dan memberikan hidayat kepada Almutawakil Sultan Mahmud Iskandar.

Dalam dewan ramai ahli UMNO yang jadi telinga dan kakitangan raj ayang menjadi musuh dalam selimut
yang telunjuk lurus kelengking berkait buat muka selamba pura-pura taat setia. Pak Habib fikir lebih baik biar wartawan duduk sama dalam dewan, tetapi nak buat macam mana semua di halau keluar kononnya ini perjumpaan tertutup. Nasib baik Pak Habib saja yang tertinggal bersama kawan-kawan dari Semangat 46 yang menyamar sebagai Ahli UMNO.

Cerita pasal Raja, kisah-kisah sebenar yang sedang berlaku didalam istana perlu diberi penjelasan supaya rakyat dapat tahu siapa raja mereka yang sebenar, dan para sultan juga patut diberitahu tentang kedaulatan Rakyat. Siapa yang berani berterus terang pada para Tuanku-Tuanku sekelian bahawa kedaulatan yang ada pada rakyat boleh menghakiskan kekebalan raja.

Kekebalan raja ini sukar untuk dipertahankan, ia ibarat air yang sedang surut. Hingga kehari ini saya tak fikir ada para pemimpin UMNO yang berani berterus terang walaupun mereka tahu Kekuasaan yang ada pada raja-raja diibaratkan seperti senjakala yang sedang menunggu waktu maghrib.

Cerita bagaimana manusia-manusia macam Tengku Wong dapat meminjam kekebalan raja-raja, cerita bagaimana keadaan kerabat di Raja Johor yang sedang berada di dalam keadaan kucing berak ke rambut memang tidak seronok didengar oleh mereka yang berjiwa royalist. Orang-orang konservertif juga tidak senang, apa lagi para kuncu-kuncu dan pecacai-pecacai serta algojo raja, tentulah mereka marah-marah pada kerajaan kerana menggunakan media massa untuk menaruh pasir dalam periuk nasi mereka.

Hampir di setiap hari media massa memuatkan di muka depan akhbar-akhbar tentang penyelewengan raja, itu pun baru sedikit dari keburukan raja dan kerabat mereka didedahkan. Masyarakat Melayu sedang menghadapi kejutan Budaya, manalah mereka tak kelam kabut dan manalah raja tak takut kehilangan kekebalan.

Surat dari pembaca dan ruangan-ruangan tertentu Rencana pengarang dan ruangan Professor Syed Hussein Alattas di Utusan Malaysia begitu menggerunkan pihak royalist dan konsevertif tiba-tiba saja lahirlah orang yang tidak pernah menulis pun sudah pandai dan berani menulis dan mengkritik raja. Nampaknya ramai sangat yang sudah tidak takut dengan raja lagi. Begitulah kata peribahasa Melayu, apabila pohon sudah tumbang kura-kura pun pandai memanjatnya. Lulus jarum maka luluslah kelindan.
Apakah raja dapat menahan Kejutan Budaya seperti ini?

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya".

Kata-kata di atas adalah ingatan Tan Sri Raja Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980 di hadapan DYMM Raja Tuanku Syed Putera, Canselor universiti itu.
Kalau saja para raja dan kerabat mereka membaca dan berfikir, berfikir dan membaca, tentunya mereka akan hati-hati, ingatan itu ditujukan kepada raja-raja. Tunku Abdul Rahman juga pernah mengingatkan raja-raja semasa isu Sultan Johor dengan Tan Sri Othman Saat, Rahim Bakar dengan Sultan Ahmad Shah kerana kekebalan berada di tangan mereka, membuat tak peduli.

Jika kedua-dua putra raja yang berpengaruh tak berjaya menasihati raja apa lagi orang seperti Mahathir dan para Menteri Besar, raja kebal. Maka kenapa salahkan Perdana Menteri bila media massa dan media eletronik digunakan? Dr. Mahathir mengaku beliau membuat silap dan meminta maaf, sepatutnya dulu lagi beliau telah mengambil tindakan ini, tetapi nak buat macam mana Mahathir cuma manusia biasa yang tidak mempunyai kekebalan seperti raja-raja.

Peristiwa Sultan Johor memanggil jurulatih hoki Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Douglas Gomez ke Istana Bukit Serene dan memukulnya bukanlah suatu peristiwa baru dan pelik lagi, ia sudah menjadi sejarah, istana Bukit Bising (Serene) diserang oleh media massa.

Kalau bukan Raja Azlan sebagai Presiden Persatuan Hoki, bukan juga anaknya Raja Nazrin sebagai Pemangku Raja Perak, cerita ini akan senyap begitu sahaja tetapi inilah hukum karma, bangkai gajah tak boleh ditutup, busuknya pekung di dada tak boleh disembunyi lama-lama. Buku bertemu ruas.Begitu juga pada suatu masa dulu pernah kedengaran desas-desus mengenai peristiwa Prebet Adam dikaitkan dengan kekasaran raja yang memerintah negara. Degas-desus itu senyap begitu saja kerana rakyat takut mempersoalkannya dengan lebih mendalam. Mahathir juga tidak mahu menghina rajanya. Hari ini pun rakyat sudah berani marah Perdana Menteri kenapa tidak ambil tindakan.

P
ada zaman ini peranan raja sebagai pelindung atau payung rakyat boleh dikatakan tidak wujud lagi. Malah ramai rakyat di negeri yang beraja sentiasa merasa terancam keselamatan mereka dari kekasaran pihak istana. Ramai rakyatnya dalam ketakutan kalau-kalau dapat penampar free jika tersilap memotong kereta anak raja atau tidak perlahankan kereta bila anak raja lalu ketika memandu.

Dari masa ke semasa peristiwa-peristiwa tingkah laku kasar dan tidak bermoral raja dan kerabat menjadi perbualan rakyat. Istana bukan saja sudah menjadi lambang keganasan tetapi juga lambang pembaziran dan kemungkaran. Peranan seseorang raja sebagai ketua agama Islam juga sering menjadi bahan ketawa orang ramai. Dulu di zaman jahiliah patung batu yang menjadi sembahan, tetapi kini orang Islam menyembah patung yang bernyawa. Bukankah ini menjadi tamparan kepada alim ulama?

Pada masa ini kedudukan seseorang raja sebegitu rupa hingga tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah atas sifat dirinya sendiri. Dengan lain perkataan seseorang raja di negara kita adalah bebas untuk melakukan apa saja termasuk membunuh orang tanpa sebab sudah mula menjadi perbincangan di sana sini. Pada mulanya memang sukar untuk di telan macam orang yang tiba-tiba mendengar bahawa bapanya seorang pembunuh tentulah dia terkejut, inikan pula kalau dia seorang manusia yang tidak beriman.

Bagi anak-anak dan kerabat raja pula mereka tidak mengatasi undang-undang dan dengan itu mereka tertakluk kepada undang-undang negara sama seperti rakyat biasa tetapi tingkah laku melebihi ayahanda mereka yang kebal. Bagaimanapun jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh mendapatkan perlindungan di belakang seseorang raja tanpa mampu diambil tindakan oleh pihak-pihak tertentu sebab itulah kerajaan terpaksa tarik balik ilmu kebal yang ada pada raja demi untuk menyelamatkan umat dan kuah tidak tumpah ke nasi
namun ketam nak ajar anak berjalan lurus macam mana?Dalam keadaan sekarang rakyat terpaksa mencari jalan untuk melindungi diri dari ancaman raja dan kerabat raja. Buat masa ini rakyat terpaksa menerima saja apa-apa bentuk keganasan yang mungkin dilakukan oleh raja mereka tanpa mendapat keadilan yang sewajarnya. Terima kasih rakyat pada Mahathir yang berani menyabung nyawa bukan saja untuk melindungi rakyat tetapi membebaskan fikiran dan jiwa yang selama ini menggelapkan nasib rakyat jelata.Sebagai rakyat yang mengamalkan demokrasi, saya menyokong penuh tindakan berani Perdana Menteri saya, bahawa kerajaan patut mengambil tindakan undang-undang terhadap kerabat diraja termasuk sultan yang menyalahgunakan kebebasan kerana di dalam Islam siapa saja yang bersalah mesti menerima hukuman. Allah akan membalas walaupun sebesar zarah amal kebaikan atau kejahatan.

Raja-raja sepatutnya bersyukur kerana di Malaysia sahaja terdapat bilangan raja yang ramai. Kedudukan mereka sekarang juga adalah hasil perjuangan rakyat jelata yang banyak berkorban terhadap negara.

Kedudukan mereka adalah lebih tinggi daripada imam. Mereka adalah Ketua agama negeri dan berkuasa tentang adat istiadat Melayu, tetapi apakah mereka patuh pada perintah Allah dan Rasul? Apakah mereka hidup dalam keadaan, dikandungan adat sedangkan mereka mati akan dikandung tanah.
Sebagai ketua agama, untuk menghadiri konsert nyanyian juga adalah bertentangan dengan kedudukan mereka kerana ia mencemarkan agama Islam. Malah ulama-ulama kerajaan atau pembangkang tidak pernah menegur tentang keadaan ini walaupun sikap mereka tidak melambangkan sebagai Ketua Agama. Nampaknya Pusat Islam seperti merestui kemungkaran ini, mereka cuma menentang golongan yang tidak sehaluan yang menjadi sasaran, di tuduh menyeleweng, sesat dan terkeluar dari akidah? Apakah mengamalkan kekebalan itu akidah Islamiah?

Sebenarnya, ketidakadilan sikap laku tentang rajaraja ini telah lama dialami oleh rakyat tetapi pemimpin sebelum ini takut dan menghormati raja tidak bertempat, hingga 35 tahun lamanya kita hidup di dalam kehinaan baru tahun ini tiba-tiba tersedar. Tetapi tidakkah kita terfikir entah berapa banyak lagi rakyat jelata kita yang telah dianiaya oleh golongan ini? Apakah patut kita memberikan kemungkaran ini berterusan?

Contohnya, tidakkah kita terfikir mengapa Prebet Adam mengamuk pada suatu masa dahulu? Tentu ada diantara anda (pembaca) yang tahu, tetapi tidak mahu menghebohkannya kerana takut bala menimpa sedangkan membunuh orang Islam adalah sebesar besar dosa.

Sultan dan kerabat diraja Johor patutnya menjadikan peristiwa bola hoki sebagai pendorong untuk mereka sentiasa menjaga hati dan perasaan rakyat sebelum terlambat.

Kejatuhan Shah Iran raja yang telah memerintah 2500 tahun, raja segala raja ketangan seorang tua yang berumur 80 tahun tanpa senjata. Ingatan King Faruk bahawa akhirnya hanya tinggal lima raja sahaja di dunia yang diingatkan oleh Tengku Abdul Rahman semasa krisis Sultan Johor dengan Tan Sri Othman Saat tidak mahu dijadikan tauladan. Sekarang bila media massa membuat liputan baru pertama kali nak marah pasal apa? Raja buat 23 kali salah rakyat senyap saja.

Di Indonesia, serentak dengan revolusi kemerdekaan, raja-raja Melayu dan Jawa pun dihapuskan. Pada hal feudalisme Jawa cukup kuat malah sampai sekarang pun masih ada yang diamalkan dalam masyarakat Jawa. Semua orang tahu bahawa rakyat itu berkuasa.

Dalam tinjauan Pak Habib majoriti rakyat yang di bawah 30 tahun mahu pindaan perlembagaan dilakukan walaupun raja-raja tidak bersetuju, kerana majoriti rakyat bersetuju. Parlimen pun telah mencapai kata sebulat suara kerana raja mesti ingat tidak ada raja tanpa rakyat. Masakan raja yang cuma sembilan orang melawan rakyat seramai 18 juta?

Orang-orang Melayu yang sudah tahu tentang kemungkaran raja mulai 'hot' dan baran kerana adanya taukeh-taukeh ala "Tengku Wong" di semua negeri kerana merekalah yang mengaut keuntungan berjuta-juta dari kawasan balak, tanah perindustrian dan perumahan, dan bermacam-macam projek lagi yang diberi atas nama atau kerana istana. Orang Melayu duduk atas tanah haram jadi sasaran dan buruan pasti akan bersama-sama Mahathir. Inilah yang menyebabkan Mahathir kuat bukan batang tubuhnya.

Sudah menjadikebiasaan orang Melayu mempunyai ingatan yang singkat "Malay people have short memory"
bahawa ketuanan Melayu berada di tangan rakyat. Kita menjadi tuan kerana kuasa politik di tangan kita. Kuasa politik UMNO dan rakyat Melayulah yang menabalkan kembali raja-raja. Dengan kuasa politik inilah juga kita bangunkan pelajaran dan kemahiran serta menebus maruah bahasa dan ekonomi Melayu. Maka kita pun menjadi tuan dan dihormati. Ketuanan inilah yang wajib dipelihara dan dipertahankan habis-habisan. Semoga Allah merestui usaha kita untuk mengembalikan raja-raja kita kepada akidah Islam yang sebenarnya.

Seandainya Sultan Johor berfikir bahawa sebagai orang Islam selaku umat Muhammad kita diwajibkan meraikan dan melayani tetamu yang datang ke rumah, kita tak patut pukul tetamu dan hina mereka kalau ini dilakukan, tentu isu pukul Gomez ini tidak akan meletus sebesar ini. Atau sekurang-kurang baginda selaku seorang besar sebagai raja yang memerintah sesudah melakukan kesalahan terus meminta maaf tentu dengan mudah kes ini akan tertutup begitu sahaja.

Sebenarnya ini zaman penutup tahun dua ribu. Semasa Isma Isma manusia mulai hapus dan terkubur.

Kejajian sehari-hari kita saksikan bahawa anak-anak sudah tidak lagi menghormati ayah dan ibu mereka. Murid sekolah tidak lagi menghormati guru. Mereka tidak lagi mahu mempercayai perkataan berkat seorang murid dipukul guru. Ibubapa dan orang ramai bertindak terhadap guru. Inilah zaman bila raja pukul seorang rakyat satu negara bangun memusuhi raja.

Begitu juga dengan Majikan dan pekerja ini zaman buruh yang memerintah bukan majikan yang berkuasa. Tetapi raja bukan nampak ini semua kerana mereka kebal dalam istana, zaman pekerja boleh dipukul, bantai, dimaki hamun sesuka hati sudah berlalu seperti akan berlalunya kekebalan raja-raja kalau bukan melalui Parlimen tak mustahil melalui revolusi.

Soal sama ada raja-raja bersetuju atau tidak bersetuju tentang soal pindaan perlembagaan, tidak timbul lagi. Pertimbangan sekarang bukanlah undang-undang, tetapi tuntutan demokrasi, keselamatan rakyat serta maruah para pegawai kerajaan.

Undang-undang hanya berfungsi apabila rakyat masih mengkehendakinya. Apabila rakyat menolak, tidak ada undang-undang yang berkuasa. Suara rakyat adalah suara keramat. Rakyat memberi mandat kepada pemimpin dan parti untuk membuat undang-undang melalui Parlimen. Tetapi apabila Parlimen dan rakyat tidak mahu lagi kepada undang-undang itu, maka habis dan tamatlah peranan dan kuasanya.

Para pemimpin dan parti yang diberi mandat untuk membuat undang-undang itupun, akan jatuh apabila rakyat tidak percaya kepada mereka. Segala badan penguatkuasa undang-undang pun tidak boleh berfungsi lagi.

Mahathir akan menang dalam perlawanan ini bukan kerana dianya Dr. Mahathir, bukan kerana Mahathir kuat dan handal. Tetapi doa dari mereka yang dizalimi oleh raja-raja yang tidak berperikemanusiaan dan prilaku raja yang angkuh dan zalim pasti menerima pembalasan dari Allah di dunia ini akibat terlupa bahawa Allah yang berkuasa dan bila timbul kebenaran maka yang batil akan gugur dengan sendirinya.

4 comments:

  1. org umno ni mmg buta sejarah. depa la yg kutuk sultan dulu. skrg jd pembela pulak. hampehhh...

    ReplyDelete
  2. ya betul....aku sokong

    ReplyDelete
  3. melayu mudah lupa dan azlan dah terlupa atau buat2 lupa???

    ReplyDelete
  4. raja ni mcm ubat, mulanya jd penawar tp lama2 dah luput tarikh baik dibuang aje. kalu makan jugak bukan jd penawar tp jd racun.

    ReplyDelete